4/16/2012

Cinta Hujan 6

Mungkin sudah sampai saatnya kita dikenalkan dengan watak wanita utama. Dia adalah seorang gadis yang begitu indah sekali untuk ditatap. Kulitnya putih gebu, badannya kurus begitu cocok sekali dengan ketinggiannya. Rambutnya hitam panjang sekali, diikat kemas dibelakang dan dibiarkan jatuh sedikit menghala kekanan mukanya. Mukanya bujur, susunan mata, hidung dan mulutnya begitu kemas. Dan yang menarik sekali, terindah hias dipipinya apa yang dipanggil lesung pipit.

Pakaiannya mudah, tidak berlebih-lebih. Boleh dikatakan minimalis sekali. Aksesorinya begitu mudah, dengan rantai berbuahkan emas berbentuk hati, kasut yang begitu comel dan stokin yang comel, dia pasti membuatkan sang lelaki begitu teruja. Suaranya merdu, begitu cocok dengan percakapannya yang kemas dan teratur. Apabila gelak, dia gelak dengan begitu ikhlas. Itulah Yoona Farhana, atau lebih mudah dipanggil Yoona, seorang gadis yang begitu tertib sekali.

Dilahirkan anak tunggal dari keluarga yang sederhana, dia dihadiahkan dengan ibubapa yang penyayang. Dia tidak mudah mendapat hadiah dari ibubapanya, dididik dengan sifat berdikari. Ini menjadikan dia sangat menghargai setiap pemberian ibubapanya. Tapi sayang, dia tidak dapat bermanja lama-lama dengan ibubapanya. Sudah takdir, ibubapanya kemalangan jalanraya ketika ingin membelikan hadiah harijadi anak kesayangannya. Oleh itu, dia menumpang kasih pada neneknya yang sudah uzur. Tetapi jarang sekali dia menangis, apatah lagi mengeluh akan nasibnya. Dia meneruskan hidupnya tanpa perlu merengek-rengek didalam fesbuk mahupun tuitter seperti gadis sezaman dengannya.

Dan semua ini Jack ketahui hanya melalui membaca diari gadis tersebut. Melalui intuisi dan deduksinya, dia yakin sekali bahawa inilah gadis yang dicintainya. Gadis yang membuatkan dirinya yakin untuk bercinta. Gadis yang membuatkan dirinya yakin untuk dinikahinya, Dan gadis yang membuatkan dia yakin bahawa inilah orang yang akan dia kongsi segala yang dia ada sepanjang hidupnya.

Setelah membaca diari tersebut, Jack dengan begitu bersemangat meneruskan lukisannya. Tak perlu Jack menatap gadis itu lagi kerana otaknya sudah dipenuhi dengan imej gadis tersebut. Dan Jack menghabiskan hampir 5 hari tidak pulang ke bilik yang dikongsi bersama sahabatnya semata-mata untuk menyiapkan lukisan tersebut. Dan pengorbanan Jack inilah yang bakal menyentuh jiwa gadis manis itu...

Cinta Hujan 5

Dimulakan dengan satu lukisan membujur, kemudian 2 garisan yang kelihatan selari dibawah serta garisan-garisan lain, sudah semakin jelas bahawa Jack sedang melukiskan gadis tersebut. Matanya kejap-kejap melihat gadis tersebut sambil tangannya lincah menconteng kanvas. Gadis itu yang tidak sedar bahawa dirinya sedang diportrait oleh seorang bakal seniman, terus tenang duduk dikerusi taman itu sambil membaca buku. Dengan dilimpahi sinaran matahari, ia menyerlahkan lagi wajah gadis itu yang cukup suci.

Jack yang bagaikan dirasuk itu terus-terusan menconteng kanvasnya itu. Dia tidak perlu lagi untuk merenung 5 minit sebelum melukiskan gadis itu. Otaknya sudah merakam dan tangannya tahu membuat kerja. Gadis itu masih disitu lagi, sedang menulis sesuatu pula. Melihatkan gadis itu tekun menulis membuatkan Jack yakin bahawa gadis itu akan duduk lebih lama disitu. Jack terus melukis dan hidup dalam khayalan. Farah yang sedar bahawa Jack tidak berminat dengan syarahannya perlahan-lahan mengundurkan diri dengan muka segan-segan.

Ketika Jack sedang asyik melukis, gadis tersebut bangun dan meninggalkan taman itu tanpa Jack sedari. Apabila Jack kembali merenung kerusi itu, Jack hampir-hampir terduduk. Kerusi itu sudahpun kosong. Entah mengapa Jack berlari keluar dan terus menuju ke taman mencari gadis tersebut. Walaupun Jack tahu bahawa jika dia menjumpai gadis tersebut, dia akan tersenyum bangang keseorangan tetapi Jack tetap mahu menatap wajah gadis itu walaupon sesaat. Setelah berlegar-legar ditaman itu hampir 11 minit, Jack berjalan frust menuju ke kerusi tempat gadis yang dicintainya.

Dengan tangan digenggam erat, Jack merenung kebumi sambil memikirkan gadis tersebut. Entah apa luck Jack, dibawah kerusi itu ada sebuah buku. Perlahan-lahan Jack mengambil buku tersebut dengan hati berdebar. Terpampang didepan buku itu, nama pemiliknya. Yoona Farhana Binti Ahmad Kamil. Ah, indah sungguh nama pemilik buku ini. "Jangan-jangan ini buku gadis tadi" bisik hati Jack mengharap. Tanpa membaca Bismillah, Jack membuka buku itu. Ahh, ini diari! Dan didalam diari itu terdapat coretan tangan yang begitu kemas serta sebuah gambar. Gambar yang meneyebabkan hati Jack berdegup deras. Gambar seorang budak perempuan bersama ibubapanya. Jack tahu benar itu gambar cinta hatinya kerana kesucian muka budak didalam gambar itu masih terpampang pada wajah gadis itu sekarang.

Belum sempat Jack membaca diari itu, dia disapa oleh Zack dan A1 yang kebetulan sedang ponteng ditaman itu menghisap rokok. Jack pantas menyembunyikan diari di dalam poket bajunya dan menghadiahkan senyuman yang dibuat-buat. Dalam hati, Jack begitu ingin memberi lutut di halkum kedua sahabatnya yang mengganggu Jack meneruskan membaca diari gadis itu...

4/15/2012

Cinta Hujan 4

Jack kembali ke bilik lukisan dan menuju ke ruang lukisannya. Tanpa sebarang signal, Jack membakar rokok, duduk dan merenung kanvas kosong didepannya. Kepalanya berligar-ligar memikirkan perbualan dengan Datuk sebentar tadi. Perbulan itu begitu ganjil. Dia ada mendengar ura-ura bahawa Datuk itu berkenan untuk menjodohkan dia dengan anak gadisnya. Anak gadis datuk itu sungguh pergi orangnya. Dengan kulit putih gebu, berleher jinjang, bermuka kemas dengan solekan penuh, badan yang menyelerakan kerana berpakaian begitu menjolok mata, kaki yang panjang dan putih, adalah begitu mudah untuk menarik perhatian lelaki seperti penulis. Tetapi tidak Jack. Jack mendambakan gadis yang minimalis tetapi masih ada rupa. Celaka juge ko ni ye Jack.

Apa yang membuatkan Jack tidak berkenan adalah kerana anak datuk itu, eloklah kita memanggilnya dengan nama betulnya, Sofia, adalah seorang gadis yang begitu kebandaran. Masih utuh di ingatan Jack ketika pertama kali bersua dengan Sofia. Sofia dengan jelas menunjukkan kejelekan kepada Jack yang ketika itu begitu serabai setelah berhari-hari menyiapkan lukisan abstraknya bertajuk "Haiwan liar" yang memenangi anugerah lukisan terbaik anak mudak anjuran kementerian alam sekitar. Sebagai bakal anak seni, Jack begitu terpukul akan layanan Sofia. Tetapi jikalau benar Datuk berkenan untuk menjodohkan mereka, adalah sukar untuk Jack menolak kerana Jack begitu mengagumi idolanya itu.

Tanpa sedar, Jack telah membakar 5 batang rokok tanpa henti. Dari sudut jauh, kelihatan seorang gadis bertudung kemas mengikut fesyen masa kini memandang jelek pada Jack. Dengan langkah yang tegas, dia menghampiri Jack. Gadis tersebut adalah Farah, seorang gadis yang begitu indah untuk ditatap. Tetapi dia merupakan seteru kepada Jack kerana sentiasa mendapat nombor 2 di setiap keputusan peperiksaan mahupon pertandingan lukisan. Farah juga memiliki personaliti yang kurang disenangi Jack. Dia begitu gemar memberi syarahan kepada sesiapa yang tidak disukainya. Dengan menekup hidung dan menjegilkan mata, Farah menegur Jack tanpa berhemah.

"Woi bodoh, hisap rokok pergi la kat bilik ko. Busuk ko tau tak? Asap rokok ni boleh menyebabkan muka aku berkedut. Bodoh punye orang" tegur gadis itu tanpa memberi salam. Jack memandang sayu Farah. Sayang, mukanya cantik tetapi tiada adab. Entah bagaimana nasib Johari selaku teman lelaki Farah menghadap mulutnya yang begitu kurang ajar.

"Minta maaf Farah, aku kusut sangat. Aku bukak tingkap ye hembus kat luar. Aku minta maaf sangat-sangat" kata Jack dengan ikhlas. Farah seperti tidak berpuas hati melihat Jack menjawab dengan begitu berhemah terus memberi syarahan "Rokok dan bahayanya kepada populasi dunia". Syarahan itu adalah syarahan disukai Farah kerana dia yang menulis syarahan tersebut sehingga memenangi pertandingan syarahan sekolah-sekolah menengah daerah Hulu Langat suatu masa dulu.

Jack yang kelihatan tidak selesa mendengar syarahan tersebut pantas membuka tingkap dan merenung taman diluar. Sedang dia asyik menghembuskan asap sambil memekakkan telinga, matanya menangkap satu tubuh manusia. Manusia yang sangat ingin dia lihati lagi. Manusia yang menyebabkan Jack tidak lalu tidur malam jika tidak menyanyi lagu "Malam bulan dipagar bintang" bak 2 3 round. 3, 2, 1, dan hatinya telah dirasuki cinta sekali lagi. Otaknya melupakan seluruh perasaan kucar-kacir yang dihadapinya tadi. Di matanya, gadis cinta 3 saat yang dijumpainya dahulu sedang duduk-duduk dibangku sambil membaca novel. Gadis itu berpakaian mudah dengan rambut tersisir kemas. Wajahnya begitu kemas dan tenang sekali, bagaikan dunia ini tiada cacat celanya.

Jack pantas mengambil kanvas dan mula menconteng kanvas tersebut. Dan dia tanpa menyedari melukis gadis 3 saat itu. Dan benarlah kata pujangga, ketika cinta berbisik, dunia ini tenggelam dalam bisikan cinta...

Cinta Hujan 3

"Kau seorang pelajar yang bagus Jakfar. Tapi saya hairan, mengapa kamu tidak sekali melukis portrait?" soal seorang lelaki berambut panjang beruban. Rambutnya itu tidak disisir dengan bagus, diikat pula dibelakang seakan ekor kuda liar kelaparan. Bajunya kemeja kotak-kotak tidak diseterika maka tidak kemas, seluarnya terconteng dengan kaler-kaler kuning merah ungu dan menjengkelkan mata melihat. Apa yang mengejutkan adalah dikala umurnya yang tua itu, mukanya begitu kemas sekali. Kumisnya digunting nipis dan kedutannya jarang-jarang.

"Ada sebabnya saya tidak melukis portrait Prof" jawab Jack. Perlahan dia menyeluk sakunya untuk mengeluarkan rokok berjenama Dunhill sebelum teringat bahawa die didepan pensyarah yang diseganinya. Datuk Dermaga Sakti, itulah nama pemilik lelaki tua beruban itu. Dia merupakan seorang anak seni yang begitu terkenal sekali. Pernah ditawarkan menjadi Dekan tetapi menolak kerana ingin dekat sama pelajarnya. Khabar angin mengatakan pernah terjadi perang saudara di sebuah negara Afrika kerana berebutkan lukisannya.

"Boleh saya tahu apa sebabnya? Saya ini berasa curious juga sebenarnya" kata pensyarah tua itu dengan bahasa pasar yang kelihatan tidak kena dengan semangat kempen Cintakan Bahasa Kita. Jack merenung lelaki tua itu dengan perasaan kagum. Kagum kerana walaupon bergelar Datuk, dia terlalu merendah diri. Dia juga seorang yang kaya, lukisannya yang terbaru bertajuk "Ikan siakap gelama ikan duri" telah dibeli oleh saudagar IT di Jepun dengan harga USD 35,000. Khabarnya dia membuat renovation rumah adik beradiknya tanpa menggunakan sesen pon duit tersebut. Khabarnya juga adik beradiknya begitu angkuh sekali dengan orang kampung setelah rumah mereka begitu indah.

"Saya hanya akan melukis portrait orang yang saya cintai Prof. Dan orang itulah yang akan saya lukiskan sehingga akhir hayat saya" Jawab Jack bersungguh. Matanya berkaca tak tahu kenapa.  Apa yang menghairankan mata Datuk itu juga berkaca. Ahh, hati seoang seniman memang begitu deep sekali.

"Syabas anak muda. Engkau mempunyai semangat lamina yang begitu utuh. Saya berbangga sekali dengan kamu" kata datuk itu dan meninggalkan Jack. Sayup-sayup dari belakang Jack melihat Datuk itu mengelap matanya dengan menggunakan lengan baju. Jack menggeleng-gelengkan kepalanya tanda hairan dengan scene tadi...